Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan cabang Angkatan Tentera Malaysia dan agensi utama yang bertanggungjawab ke atas pengawasan dan pertahanan maritim negara Malaysia. Penguasaan TLDM meliputi 603,210 km persegi (hampir dua kali ganda keluasan daratan Malaysia, 329,860 km persegi). Dari segi kekuatan kelengkapan dan keanggotaan, TLDM merupakan tentera laut ke-3 terbesar di dalam gabungan ASEAN. Dengan kekuatan konvensional yang sederhana, TLDM masih memerlukan penambahan platform dan kapal untuk beroperasi pada tahap terbaik. Bagaimanapun pemodenan berterusan memastikan TLDM terus kekal sebagai satu angkatan yang seimbang dan berteknologi tinggi.
Sejarah Tentera Laut Diraja Malaysia boleh dianggap bermula dengan pembentukan Tentera Laut Simpanan Sukarelawan Negeri Selat (Straits Settlement Naval Volunteer Reserve, SSNVR) yang telah ditubuhkan oleh kerajaan kolonial British Negeri-Negeri Selat pada 27 April 1934 di Singapura. SSNVR ditubuhkan untuk membantu Tentera Laut Diraja British mempertahankan kawasan perairan Tanah Melayu ekoran perkembangan dan pergolakan politik di Asia di mana Empayar Jepun sedang meluaskan kuasa dan pengaruhnya. Selepas Perang Dunia Kedua, Tentera Laut Diraja Malaya akhirnya diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1958. Pada 16 September 1963, seiring dengan kemerdekaan Malaysia, TLDM dinamakan semula sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia.




